Skip to main content

Kanser Hati : "The Silent Killer" Yang Perlu Kita Beri Perhatian

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.


Antara tumour site yang dekat dengan hati saya adalah Kanser Hati. Antara banyak-banyak kanser, kanser hati atau Hepatocellular Carcinoma (HCC) adalah antara yang paling mencabar dan rumit untuk difahami. Kenapa? Kerana hati adalah organ yang sangat "penyabar". Ia jarang memberi apa-apa tanda sakit sehinggalah keadaannya sudah benar-benar kritikal.

Hari ini, jom kita fahami dengan lebih mendalam tentang kanser hati supaya kita tidak terlewat.


1. Realiti Kanser Hati : Malaysia & Dunia

Secara global, kanser hati adalah punca kematian ketiga tertinggi akibat kanser. Di Malaysia pula, kanser hati berada dalam senarai 5 kanser paling utama, terutamanya dalam kalangan lelaki. Apa yang menyedihkan, majoriti pesakit datang berjumpa saya sudah berada di “advance stage”. Pada peringkat ini, pilihan rawatan sudah menjadi semakin terhad.


2. Apa Punca Utama Hati Menjadi Kanser?

Hati tidak menjadi kanser dalam sekelip mata. Ia biasanya bermula dengan keradangan kronik yang menyebabkan parut (cirrhosis), dan akhirnya sel hati bertukar menjadi ganas. Jadi apa penyebab liver cirrhosis ini?


Hepatitis B & C : Ini adalah punca klasik. Jangkitan kuman ini merosakkan DNA sel hati secara perlahan-lahan. Di Malaysia masih menjadi punca utama, tapi dah nampak trend penurunan. 


MAFLD (Metabolic Associated Fatty Liver Disease) : Dulu kita panggil Fatty Liver. Inilah trend paling membimbangkan di Malaysia akibat obesiti dan kencing manis. Lemak yang membalut hati boleh menyebabkan keradangan dan kanser, walaupun anda tidak minum alkohol. Di Malaysia, MAFLD menampakkan trend kenaikkan, dan tak lama lagi akan mengatasi faktor hepatitis!


Alkohol : Pengambilan alkohol berlebihan dalam jangka masa panjang adalah musuh tradisi hati. Di Malaysia, mungkin bukan faktor utama. Tapi di negara yang banyak rakyatnya minum alcohol, ia adalah antara penyumbang utama. Alcohol adalah toksin pada hati!


Aflatoxin : Racun daripada kulat yang biasanya ada pada kacang atau bijirin yang disimpan dalam keadaan lembap dan tidak sempurna.


Inherited Diseases/keturunan : Hemochromatosis (excess iron) dan Alpha-1 antitrypsin deficiency.


Rokok. (Yang ni malas nak ulas lagi.)


Umur dan jantina: Kanser hati lebih banyak dikalangan  individu berumur lebih 60 tahun dan kaum lelaki .


3. Ujian Penting : Bagaimana Kita Mengesan Kanser Hati?

Jika anda berisiko tinggi (ada Hep B atau fatty liver), jangan tunggu sakit kuning. Ujian berkala adalah kunci.


Fibroscan : Ini ujian untuk melihat tahap "kekerasan" atau parut pada hati (liver stiffness). Semakin keras hati, semakin tinggi risiko kanser.


Imaging (Ultrasound, CT Scan, MRI) : MRI dengan kontras khas (Primovist) adalah antara yang terbaik untuk membezakan ketulan biasa dengan kanser. Selain itu CT Liver 4 phase juga lebih specific utk melihat organ hati.


Ujian Darah (AFP) : Alpha-fetoprotein adalah penanda tumor untuk hati. Namun, tidak semua pesakit HCC akan menunjukkan bacaan AFP yang tinggi.


4. Bagaimana Doktor Onkologi Menentukan Tahap (Staging)?

Berbeza dengan kanser lain yang guna sistem TNM, kanser hati lebih unik. Kami perlu menilai dua perkara: Tahap Kanser dan Tahap Kesihatan Hati itu sendiri.


BCLC (Barcelona Clinic Liver Cancer): Sistem ini menentukan rawatan berdasarkan saiz tumor, bilangan ketulan, dan keadaan fizikal pesakit. 


ECOG (Performance Status): Sejauh mana pesakit mampu mengurus diri dan melakukan aktiviti harian.


Child-Pugh Score: Ini sangat penting! Ia mengukur fungsi hati melalui bacaan bilirubin, albumin, dan sama ada pesakit ada air dalam perut (ascites) atau celaru mental (encephalopathy). Jika hati sudah terlalu rosak (Child-Pugh C), rawatan agresif seperti kemoterapi mungkin tidak lagi sesuai.


5. Pilihan Rawatan: Local vs Systemic

Rawatan kanser hati adalah kerja berpasukan (multidisciplinary). Kes-kes perlu dibincangkan bersama-sama pakar bedah hepatobiliary, pakar radiologi, pakar hepatologist, pakar interventionist dan pakar onkologi. 


Surgery: Kalau ketulan masih kecil atau boleh dibedah dengan selamat, maka pembedahan akan dilakukan.


Local Therapy (Rawatan Setempat):  pakar radiologi intervensi boleh buat TACE (memotong bekalan darah ke tumor) atau RFA (membakar tumor menggunakan haba). Rawatan radioterapi juga salah satu pilihan.


Systemic Therapy (Ubat-ubatan): Untuk kanser yang sudah agak advance, berulang atau ada beberapa ketulan, kita ada ubat sasaran (Targeted Therapy) seperti Sorafenib atau Lenvatinib. Teknologi terbaru kini melibatkan Imunoterapi (seperti kombinasi Atezolizumab + Bevacizumab, Durvalumab + Tremelimumab dan Ipilimumab+ Nivolumab) yang menunjukkan keputusan yang memberangsangkan. 


Kanser hati adalah antara kanser unik yang tak “lut” dengan kemoterapi. Dan plan rawatan pesakit adalah tidak sama bagi setiap orang.


6. Monitoring: Perjalanan Yang Panjang

Selepas rawatan, pemantauan rapi adalah wajib. Pesakit perlu menjalani imbasan CT atau MRI setiap 3 ke 6 bulan. Kita perlu pastikan tiada ketulan baru yang tumbuh, kerana hati yang sudah mempunyai parut (sirosis) akan sentiasa berisiko tinggi untuk menumbuhkan sel kanser baru.


7. Penjagaan Pesakit Kanser Hati

Soalan biasa saya dapat; doktor, nak makan apa. Seperti yang saya jelaskan, setiap pesakit itu tak sama;


A. Pesakit Yang Masih "Fit" & Sedang Menjalani Rawatan (Targeted therapy/Imunoterapi/Radioterapi)

Pada fasa ini, badan pesakit sedang "berperang". Matlamat utama ialah mengelakkan Cachexia (susut otot dan berat badan yang melampau).

Tinggi Protein: Pesakit kanser memerlukan protein yang cukup untuk pemulihan sel. Dr boleh galakkan sumber protein putih seperti ikan, ayam, dan telur. Protein berasaskan tumbuhan (tauhu, tempe, kacang) juga sangat baik kerana ia kurang menghasilkan ammonia yang boleh membebankan otak (encephalopathy).

Kalori yang Padat: Oleh sebab pesakit selalunya hilang selera makan akibat kesan sampingan rawatan, mereka perlu makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap (small frequent meals), contohnya 6 kali sehari.

Pesakit yang menjalani targeted therapy mungkin lebih berisiko mendapat cirit-birit dan ulser mulut. Elakkan makanan yang terlalu pedas atau terlalu masam.

Pantang Larang Utama: MAKANAN MENTAH. Pesakit HCC  mempunyai sistem imun yang rendah. Pastikan sushi, telur separuh masak atau apa2 makanan yang tidak dimasak dengan betul perlu dielakkan untuk mencegah jangkitan kuman (Vibrio atau Salmonella) yang boleh menyebabkan kegagalan hati mendadak.


B. Pesakit Dengan Sirosis Tahap Lanjut (Child-Pugh B atau C)

Apabila fungsi hati sudah merosot, diet perlu lebih "berhati-hati" untuk menguruskan komplikasi:

Kawalan Garam (Low Sodium): Ini paling kritikal bagi pesakit yang sudah ada Ascites (perut busung) atau kaki bengkak. Garam akan menarik air dan memburukkan lagi keadaan. Dr selalu pesan, "Jangan tambah garam dalam hidangan, kurangkan kicap, sos, dan makanan dalam tin."

Kawalan Protein (Jika ada Encephalopathy): Jika pesakit mula keliru atau restless (ammonia tinggi), pengambilan protein haiwan (daging merah) perlu dikurangkan dengan ketat dan diganti dengan protein tumbuhan yang lebih "bersih".


C. Pesakit MAFLD (Fatty Liver) Yang Belum Ada Sirosis Teruk

Bagi mereka yang kansernya berpunca daripada masalah metabolik:

Low Sugar & Low Carb: Fokus utama ialah memulihkan sensitiviti insulin. Kurangkan nasi putih dan buang terus gula pasir.

Lemak Sihat: Galakkan penggunaan minyak zaitun atau pengambilan kacang-kacang yang kaya dengan Vitamin E (antioksidan untuk hati).


D. Isu Suplemen & Herba (Paling Penting!)

Ini adalah nasihat yang Dr perlu tegaskan berkali-kali dalam post:

"No Unverified Supplements": Rakyat kita suka ambil ubat periuk, herba, atau suplemen "cuci hati" bila tahu ada kanser. Hakikatnya, hati yang sudah ada HCC atau sirosis sudah tidak mampu memproses bahan kimia kompleks daripada herba tersebut. Ini boleh menyebabkan DILI (Drug-Induced Liver Injury) yang akan mempercepatkan kematian pesakit.


Kesimpulan: Lindungi Hati Anda

Hati adalah kilang utama badan kita. Sekali ia rosak, seluruh sistem badan akan terjejas. Berita baiknya, banyak punca kanser hati boleh dicegah—ambil vaksin Hepatitis B, rawat Hepatitis C, jaga berat badan, dan kawal kencing manis anda.


Jangan biarkan "si penyabar" ini menderita dalam diam. Sayangi hati anda sebelum ia berubah menjadi kanser.


Disclaimer : Ini adalah pendidikan kesihatan umum. Saya nasihatkan pesakit berbincang dengan doktor anda tentang nasihat plan rawatan terbaik kerana setiap pesakit itu unik dan plan rawatan tidak sama.


#KanserHati #HCCAwareness #OnkologiMalaysia #HepatitisB #FattyLiver #KesihatanHati #DrKerryNotes #LawanKanser